Friday 4 April 2014

Hudud Liwat Anwar?

Rupanya ada juga pasrasit yang membaca tulisan saya semalam berkaitan hudud qazaf Saiful dan bertanya soalan; mengapa Anwar tidak dikenakan pertuduhan mengikut undang-udang hududkerana meliwat Saiful?

Mereka yang menimbulkan persoalan ini cuba menimbulkan persepsi bahawa jika Anwar dikenakan pertuduhan hudud kerana meliwat Saiful, pasti dia akan dibebaskan kerana Saiful tiada empat (4) saksi. Itu tujuan dan maksud mereka.

Persoalan yang sama pernah dibangkitkan oleh kaum aktivitis womens lib yang mendakwa ketiadaan empat (4) orang saksi akan menyebabkan wanita teraniaya dan dizalimi kerana mereka tidak akan dapat mengemukakan empat (4) orang saksi bagi membuktikan sebarang pertuduhan merogol terhadap mereka.

Malah bukan itu sahaja, kaum wanita akan teraniaya kerana akan dikenakan pula tindakan qazaf kerana menuduh seorang lelaki merogol mereka tanpa empat (4) saksi!

Atas sebab inilah para pejuang kebebasan wanita, women’s liberator, mendakwa undang-undang Islam zalim dan tidak melindungi dan menghormati hak wanita.

Pada saya, kedua-dua kenyataan diatas, samada oleh pasrasit ataupun women’s lib, dibuat atas sebab kejahilan dan kurangnya mendalami perundangan Islam.


Tidak bermakna apabila tiada empat (4) saksi, maka kes pertuduhan zina, rogol atau liwat tidak boleh dibawa; atau jika dibawa tertuduh akan dibebaskan, dan mangsa akan dikenakan tindakan qazaf.

Perundangan Islam tidaklah sebodoh dan sejelik itu. Undang-undang ALLAH ini cantik, yang memperhodoh dan memperbodohkan ialah golongan yang jahil sahaja.

Dalam keadaan seseorang pengadu, samada wanita (mengadu dirogol) atau lelaki/wanita (mengadu diliwat) tidak dapat mengemukakan empat (4) orang saksi, ini hanya membawa kesan si-perogol atau si-peliwat itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Itu sahaja.

Ini bukan bermakna dia terlepas dan dibebaskan.

Ini bermakna pertuduhan hendaklah dibawa mengikut peruntukkan ta’zir, dimana pembuktian tidak lagi memerlukan empat (4) orang saksi, tetapi berdasarkan keterangan dan pembuktian qarinah. Peruntukkan paling terdekat dengan qarinah dalam bahasa undang-undang sibil dipanggil circumstantial evidence.

Ini bermakna pembuktian liwat atau zina boleh dibuat berdasarkan keterangan seperti DNA, video, rakaman, persaksian termasuk oleh saksi doktor, pakar forensik, polis, orang awam dan lain-lain, sampel darah, pakaian, dan pelbagai lagi cara pembuktian dan keterangan.

Dalam konteks ini, kenyataan yang menyatakan rakaman video adalah bukti besi dan tidak boleh dipakai sebagai bukti adalah kenyataan yang terlalu dangkal dan tidak memahami undang-undang Islam!

Apa yang penting dibawah pertuduhan ta’zir ialah keterangan qarinah itu, atau rumusan keterangan membawa kepada satu perkara, bahawa perbuatan liwat atau rogol itu berlaku!

Cuma jika pembuktian itu dibuat berdasarkan keterangan atau pembuktian qarinah, maka si-peliwat atau si-perogol tidak boleh dikenakan hukuman hudud, sebaliknya dihukum ta’zir; iaitu hukuman yang akan ditentukan oleh pemerintah melalui undang-undang yang dibuat, seperti Kanun Kesiksaan.

Sebenarnnya kalau kaum pasrasit ini membaca undang-undang hudud ciptaan PAS sendiri, mereka akan dapati didalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 (yang mana Enakmen Jenayah Hudud & Qisas Kelantan mempunyai peruntukkan yang sama) memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 50: Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hudud kerana…keterangan yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud (contohanya seperti ketiadaan 4 orang saksi), maka tertuduh hendaklah dihukum dengan hukuman ta’zir; dan Mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.

Jadi tidak sepatutnya kaum pasrasit menimbulkan persoalan mengapa Anwar tidak dikenakan pertuduhan mengikut hudud; dan mendakwa Anwar wajib dibebaskan kerana Saiful tidak ada empat (4) orang saksi.

Pada saya ini adalah kenyataan paling hipokrit dan mempermainkan hukum ALLAH semata-mata untuk kepentingan politik mereka!

Apa yang jelas, Anwar telah dikenakan pertuduhan meliwat Saiful menurut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan, keterangan dan pembuktian melalui qarinah telah didengar dan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ta’zir 5 tahun penjara tanpa sebatan.

Apa yang penting ialah Mahkamah Rayuan tidak menjatuhkan hukuman hudud iaitu rejam keatas Anwar, kerana ketiadaan empat (4) orang saksi yang melihat perlakuan liwat dia terhadap Saiful!

Akhir kalam, apa yang penting ialah selain memastikan keadilan untuk tertuduh, Islam juga menjamin dan menjaga keadilan untuk mangsa.

Didalam kes kita, saya pelik mengapa kaum pasarasit hanya memperkatakan tentang keadilan untuk Anwar? Bagaimana pula keadilan untuk Saiful? Adakah Saiful tidak mempunyai sebarang hak?

Sebenarnya gelagat kaum pasrasit inilah yang menyebabkan undang-undang Allah yang cantik menjadi hodoh dan jelik!

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.


Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment