Pihak pembangkang diminta supaya tidak terus mempolitikkan isu
kenaikan harga barang dengan memberi gambaran kepada rakyat seolah-olah
negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
(gambar) berkata pihak pembangkang sepatutnya turut bersama-sama mencari
jalan untuk membantu rakyat menghadapi masalah kenaikan harga barang
dan bukan hanya mengkritik kerajaan.
"Mereka nak dapat dari segi sokongan rakyat semata-mata, tidak mahu selesaikan masalah rakyat.
"Kalau benar harga barang ini membebankan rakyat, kerajaan di bawah
pemerintahan pakatan (pembangkang) di Selangor, kempen lah... bagaimana
nak kurangkan harga barang di situ," katanya kepada pemberita selepas
melawat dan meninjau harga barang di Pusat Transformasi Luar Bandar
(RTC) di Gopeng hari ini.
Mohd Shafie tidak menafikan berlaku peningkatan harga barangan tertentu tetapi menurutnya masih ada tempat yang menjual barang dengan harga murah.
"Bukan saya nak nafikan tentang peningkatan harga barang... ada...
tetapi di setengah tempat ada harga menurun seperti di sini (Pasaraya
Mydin di RTC).
"Nampak sangat ketara (harga barang) di sini jauh lebih murah, jadi
kalau boleh masyarakat berhampiran datang berkunjung ke tempat yang
harganya berpatutan supaya mengurangkan bebanan mereka," katanya. –
Bernama, 18 Januari, 2014.
No comments:
Post a Comment