BALIK PULAU, 4 April – Ahli Dewan Undangan Negeri
Pulau Betong, Muhammad Farid Saad membidas cadangan kerajaan Pulau Pinang di
bawah pentadbiran DAP untuk menaikan surcaj air yang menurut beliau hanya akan
menambahkan lagi membebankan penduduk di
negeri tersebut khususnya masyarakat di luar bandar.
Menurut beliau,
sepatutnya kerajaan negeri memikirkan terlebih dulu rancangan untuk membina
rumah-rumah kos rendah yang sememangnya amat-amat diperlukan oleh penduduk yang
berpendapatan rendah di negeri tersebut.
“Kalau nak lihat contoh kebijaksanaan pemerintahan
DAP, lihatlah di Pulau Pinang. Inilah contoh kerajaan yang kononnya prihatin
terhadap nasib rakyat bawahan. Dulu mereka kata nak bina rumah kos rendah,
tetapi hingga kini sudah lima tahun berlalu, tiang rumah kos rendah itu pun tak
nampak.
“Sedangkan duit, tanah dan juga kelulusan ada di tangan mereka. Hari ini
mereka berkuasa. Kalau benar-benar kerajaan DAP mahu bantu rakyat marhain, maka
sudah lama kerajaan bina rumah kos rendah untuk membantu meringankan beban
rakyat.
“Tapi nampaknya, mereka lebih gemar untuk mengikut
nafsu pemaju membina rumah-rumah mewah yang tidak mampu dimiliki oleh majoriti
rakyat di negeri ini. Inilah kebijaksanaan DAP memerintah, yang hanya tahu
mengikut nafsu mereka tetapi tidak pedulikan kehendak dan kesengsaraan rakyat
kebanyakan,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh tindakan
kerajaan negeri yang bertindak merobohkan gerai-gerai peniaga di situ tanpa
memberikan sebarang alternatif lain untuk mereka terus dapat menjalankan
perniagaan bagi mencari sesuap nasi.
“Kalau dulu ketika BN memerintah, sekiranya kita
mahu merobohkan gerai peniaga maka kita akan pastikan mereka mendapat tempat
lain sebagai ganti yang sah berlesen, sebagai ganti untuk mereka meneruskan
perniagaan mereka.
“Namun, kerajaan DAP hari ini hanya tahu merobohkan
gerai peniaga-peniaga kecil, dan selepas itu mereka biarkan saja nasib
peniaga-peniaga yang dirobohkan gerai mereka itu terumbang ambing tanpa
mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Pemimpin DAP perlu ingat, apabila mereka
merobohkan gerai peniaga kecil yang menjadi punca pendapatan mereka, secara
tidak langsung mereka jugalah menjadi punca kepada berlakunya krisis rumah
tangga apabila sesebuah keluarga peniaga itu tidak lagi mempunyai pendapatan
yang tetap,” jelasnya lagi.
Beliau juga meminta agar kerajaan DAP lebih
bersikap adil dan saksama dalam membantu peniaga-peniaga kecil di Pulau Pinang
dan jangan hanya melebihkan golongan dan kaum tertentu saja.
“Mengapa di sekitar Georgetown, kawasan itu boleh
kerajaan negeri gazetkan sebagai tempat perniagaan dan peniaga di sekitar
kawasan itu boleh meniaga sehingga larut malam di kaki lima jalan, sedangkan
ditempat lain tidak dibenarkan.
“Ini memperlihatkan sikap kerajaan negeri yang
berat sebelah dan justeru itu, saya menyeru agar rakyat di Pulau Pinang agar
memandangkan perkara secara serius perkara ini dan DAP bukanlah sebuah parti
yang benar-benar mahu untuk membela rakyat serta tidak mampu untuk mentadbir
kerajaan negeri dengan baik, adil dan saksama,” katanya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment