KUALA LUMPUR, 4 April – Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dibidas dan diminta cermin diri terlebih dahulu sebelum
membuat dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat mengenai misteri
kehilangan pesawat MH370.
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk
Seri Mohd Fairus Khairuddin berkata bukankah ‘jam omega’ juga menjadi misteri
sehingga kini yang tidak mampu dirungkai dengan sejelas-jelasnya kepada
masyarakat umum.
Menurut beliau dakwaan terbaru Anwar mengenai
kehilangan pesawat MH370 bukanlah sesuatu yang baru dan bukanlah perkara yang
cukup ajaib untuk diperkatakan dan diperbahaskan.
“Rasa-rasanya misteri jam omega lagi ajaib kerana
sepengetahuan saya, ianya masih tidak ditunjukkan kepada umum. Jadi tidak
perlulah beliau bercakap secara lanjut mengenai pesawat MH370 itu. Cerminlah
diri terlebih dahulu sebelum ghairah membuat pelbagai dakwaaan.
“Saya cukup hairan dan pelik, dalam keadaan dunia
termasuklah negara-negara maju pun sama-sama mencari serta sama-sama berusaha
merungkai kemelut berkenaan, tidak semena-mena pula Anwar tampil dengan
dakwaaan sebegitu rupa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Fairus seterusnya menambah ulasan
serta pandangan oleh Ketua Pembangkang itu tidak ada nilai untuk diperhalusi
secara mendalam.
“Bahkan apa yang didakwanya itu hanyalah
semata-mata untuk mencari kelemahan kerajaan dalam soal yang dianggap getir dan
memerlukan sokongan serta dokongan semua pihak.
“Ini bukannya masalah yang boleh main-main. Apa
yang kita hadapi hari ini berhubung kehilangan pesawat MH370 itu sesuatu yang
cukup sukar dan ini diakui oleh negara-negara yang terlibat dalam operasi
mencari serta menyelamat. Tetapi bagi saya tidak pelik Anwar sanggup
mengeluarkan dakwaan sedemikian rupa,” katanya.
Anwar dilapor menuduh kerajaan menyembunyikan
maklumat mengenai misteri kehilangan pesawat MH370.
“Saya percaya kerajaan tahu lebih daripada kita.
Mereka ada kuasa untuk mengarahkan tentera udara atau Malaysia Airlines,”
katanya. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment